umar

Legasi kepimpinan Islam diteruskan lagi oleh Sayyidina Umar al-Khattab yang mengambil alih jawatan khalifah selepas kewafatan Khalifah Abu Bakar.

Umar al-Khattab adalah seorang khalifah yang sangat terkenal, perjalanan hidupnya adalah teladan yang diikuti, dan kepemimpinannya adalah sesuatu yang diimpikan. Umar al-Khattab, kadang kadang dipanggil juga sebagai Umar Farooq ataupun Omar atau Umar ialah daripada Bani Adi iaitu salah satu golongan puak Quraisy.

Beliau menjadi khalifah kedua Islam pada 23 Ogos (633-644 Masihi) bersamaan 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah dan merupakan salah seorang Khulafa al-Rasyidin dan merupakan salah satu khalifah dalam Khulafa Ar-Rasyidin.

Penghidupan Awal

Saidina Umar al-Khattab dilahirkan di Makkah. Beliau dikatakan terdiri daripada golongan kelas pertengahan. Bapanya bernama Khattab bin Naufal bin Abdul Uzza. Sewaktu kecilnya beliau pernah mengembala kambing dan pada zaman dewasanya beliau berniaga dengan berulang-alik ke Syam membawa barang dagangan.

Beliau juga berilmu, yang boleh membaca dan menulis kerana ia adalah perkara yang amat jarang terdapat pada masa tersebut, dan juga merupakan seorang pejuang dan wira yang gagah dan terkenal kerana kegagahannya.

Peristiwa Memeluk Islam

Semasa Nabi Muhammad S.A.W. mula menyebarkan Islam secara terang-terangan,
Saidina Umar mempertahankan ajaran tradisi masyarakat Quraisy. Saidina Umar ialah antara orang yang paling kuat menentang Islam pada masa itu.

Menurut ahli sejarah Islam, semasa Saidina Umar dalam perjalanan untuk membunuh Rasulullah S.A.W., beliau bertembung dengan rakannya Nu’aim bin ‘Abdullah yang mengatakan bahawa beliau haruslah membetulkan adik perempuannya dahulu memandangkan adiknya telah memeluk Islam.

Saidina Umar pergi ke rumah adiknya serta suaminya dan mendapati mereka berdua dan Khabbab bin ‘Aratt sedang membaca al-Quran daripada Surah Taha. Dalam keadaan yang marah dan kecewa beliau memukul adiknya. Apabila melihat adiknya kesakitan, beliau meminta maaf dan sebagai balasan beliau akan membaca secebis ayat Al-Quran dari surah Taha kepada adiknya.

Beliau berasa terharu apabila mendengar ayat-ayat Al Quran yang begitu indah sehinggakan beliau memeluk Islam pada hari itu juga. Selepas peristiwa terbabit, beliau berjanji akan melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.

MASJID NABI (MASJID NABAWI)
MADINAH, MASJID NABAWI

Kehidupan Di Madinah

Pada tahun 622M, Saidina Umar al-Khattab ikut bersama Nabi Muhammad SAW dan pemeluk Islam lain berhijrah (migrasi) ke Yatsrib sekarang dikenali dengan Madinah. Ia juga terlibat dalam perang Badar, Uhud dan Khaybar serta penyerangan ke Syria.

Pada tahun 625M putrinya (Hafsah) menikah dengan Nabi Muhammad SAW, Ia dianggap sebagai seorang yang paling disegani oleh kaum muslimin pada masa itu kerana selain reputasinya yang memang terkenal sejak masa pra-Islam.

Juga kerana ia dikenal sebagai orang terkedepan yang selalu membela Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam pada setiap kesempatan yang ada bahkan ia tanpa ragu menentang kawan-kawan lamanya yang masih jahil enggan menerima Islam.

Pemerintahan Saidina Umar

Semasa pemerintah Saidina Umar al-Khattab, empayar Islam berkembang dengan pesat; menawan Mesopotamia dan sebahagian kawasan Parsi daripada Empayar Parsi (berjaya menamatkan Empayar Parsi), dan menawan Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara, dan Armenia daripada Byzantine (Rom Timur). Ada di antara pertempuran ini menunjukkan ketangkasan tentera Islam seperti Perang Yarmuk yang menyaksikan tentera Islam yang berjumlah 40 000 orang menumpaskan tentera Byzantine yang berjumlah 120 000 orang. Hal ini mengakhiri pemerintahan Byzantine di selatan Asia Kecil.

Pada tahun 637Masihi, selepas pengempungan Baitulmuqaddis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut. Paderi besar Baitulmuqaddis iaitu Sophronius menyerahkan kunci kota itu kepada Saidina Umar al-Khattab. Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar supaya bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre.

Saidina Umar menolak dan sebaliknya menunaikan solat tidak beberapa jauh daripada gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian. 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar menunaikan solat.

Saidina Umar banyak melakukan reformasi terhadap sistem pemerintahan Islam seperti menubuhkan pentadbiran baru di kawasan yang baru ditakluk dan melantik panglima-panglima perang yang berkebolehan.

Semasa pemerintahannya juga kota Basra dan Kufah dibina. Saidina Umar juga amat dikenal kerana kehidupannya yang sederhana.

Kewafatan Saidina Umar

Saidina Umar wafat pada tahun 644M selepas dibunuh oleh seorang hamba Parsi yang bernama Abu Lu’lu’ah. Abu Lu’lu’ah menikam Saidina Umar kerana menyimpan dendam terhadap Saidina Umar. Dia menikam Saidina Umar sebanyak enam kali sewaktu Saidina Umar menjadi imam di Masjid al-Nabawi, Madinah.

Saidina Umar meninggal dunia dua hari kemudian dan dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad S.A.W. dan makam Saidina Abu Bakar. Saidina Uthman bin Affan dilantik menjadi khalifah selepas kematiannya.

Kata-kata Saidina Umar:

Bila engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau hendak mencaciinya, maka cacilah dirimu. Kerana celamu lebih banyak darinya.

Umar Al-Khattab

Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah perutmu dahulu. Kerana tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

Umar Al-Khattab

Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah Allah. Kerana tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain Allah.

Umar Al-Khattab

Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab apabila engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

Umar Al-Khattab

Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi dan penuh penyesalan.

Umar Al-Khattab

Bila engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah akhirat. Kerana engkau tidak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.

Umar Al-Khattab

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *