Solat hajat merupakan salah satu jalan untuk memohon hajat daripada Allah. Semua orang mempunyai keinginan, dan Allah mencintai jika kita mengadu dan meletakkan harapan kepadaNya. Mukmin yang baik akan selalu berdoa kepada Allah biarpun di dalam sekecil-kecil perkara.

Dalil Mengharuskan Solat Sunat Hajat

Yang sebenarnya tidak ada secara spesifiknya di dalam nas-nas disebut sesuatu solat itu adalah solat sunat hajat. Namun isyarat-isyaratnya ada. Allah menyebutkan di dalam alquran:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Maksudnya:

” Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mendirikan solat. Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat melainkan kepada orang-orang yang khusyuk.”

– Albaqarah ayat 45

Ini menunjukkan keharusan untuk memohon daripada Allah dengan jalan menunaikan solat.

Cara Melakukan Solat Sunat Hajat

Solat sunat hajat tidak disebut secara jelas tentang kaedah melakukannya. Namun begitu di dalam sebuah hadith riwayat Abu Darda dinyatakan:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ يُتِمُّهُمَا أَعْطَاهُ اللَّهُ مَا سَأَلَ مُعَجِّلاً أَوْ مُؤَخِّرًا

“Maksudnya: Sesiapa yang berwudhu kemudian menyempurnakan wudhunya, kemudian dia mendirikan solat dua rakaat dengan sempurna, Allah akan memberikan kepadanya apa yang diminta samada cepat ataupun lambat.”

Maka berdasarkan hadits ini, kaedah melakukan solat sunat hajat adalah seperti berikut:

  1. Berwudhu dengan sempurna. Maksudnya ialah menjaga tertibnya dan mengikuti sunnah Rasul di dalam melakukannya.
  2. Mendirikan solat dengan sempurna. Bacaan yang dibaca ialah Surah Fatihah dan kemudian membaca apa sahaja surah-surah pilihan.
  3. Kemudian meminta hajatnya kepada Allah. Boleh berdoa kepada Allah di dalam sujud ataupun selepas habis membaca tahiyyat akhir sebelum salam.

Bagaimana Berdoa Di Dalam Sujud?

Jika hendak berdoa di dalam sujud, dilarang untuk membaca alquran di dalam sujud. Doa yang boleh dilafazkan hanyalah doa yang diajarkan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Sekiranya tidak tahu doa yang diajarkan nabi, maka boleh berdoa di dalam bahasa sendiri pada waktu sujud. Akan tetapi ia tidak boleh dilafazkan, hanya boleh dibaca di dalam hati. (Melainkan memang tidak tahu lansung membaca bahasa arab)

Anjuran Berdoa Di Dalam Sujud

Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Keadaan yang paling dekat seseorang hamba dengan Tuhan-nya ialah ketika dia bersujud. Maka perbanyakkanlah berdoa (pada waktu sujud).”

Riwayat Muslim dan al-Nasaie.

Dianjurkan Nabi ajar memperbanyak doa di dalam sujud. Maka sesiapa yang melakukan solat hajat boleh memperbanyak doa pada waktu ini.

Bilakah Waktu Melakukan Solat Hajat?

Waktu yang sesuai untuk melakukan solat hajat adalah pada waktu sepertiga malam terakhir. Waktu sepertiga malam terakhir adalah sekitar 2.20 pagi sehingga masuk subuh. Di dalam sebuah hadith Allah menceritakan bahawa Allah mencari-cari hamba yang berdoa untuk Allah mengabulkannya di waktu sepertiga malam:

‏ يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ ‏”

Maksudnya:

”Rabb kita turun ke langit dunia pada setiap malam yaitu ketika sepertiga malam terakhir. Allah berfirman, ’Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku kabulkan. Barangsiapa yang meminta kepada-Ku, niscaya Aku penuhi. Dan barangsiapa yang memohon ampun kepada-Ku, niscaya Aku ampuni.” 

-(HR. Bukhari no. 1145 dan Muslim no. 1808)

Begitulah, solat sunat hajat itu tatacaranya melakukannya adalah tidak tertakluk kepada kaedah tertentu. Apa yang penting adalah hati yang ingin selalu mengadu dan merintih kepada Allah dan menzahirkan sifat kehambaan. InsyaAllah, harapannya kita menjadi hamba yang selalu mengharap kepada Allah dan dicintai Allah kerana itu. Sentiasalah merasakan bahawa di dalam sujud Allah melihat kita , dan mendengar doa-doa kita.

Wallahu alam. Semoga perkongsian ini bermanfaat.

Baca:

https://nahkasi.com.my/solat-taubat-panduan-kelebihan-dan-dalil/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *