nabi ibrahim memecahkan berhala

Kisah Nabi Ibrahim memecahkan berhala merupakan salah satu kisah menarik yang diceritakan dalam al-quran. Pada ketika itu, Nabi Ibrahim merasakan tidak berjaya dalam usahanya menyedarkan ayahnya yang tersesat itu sangat menyedihkan hatinya, kerana Baginda sebagai putera yang baik, ingin sekali melihat ayahnya berada dalam jalan yang benar dan keluar dari lembah kesesatan dan syirik

Namun Baginda sedar bahawa hidayah itu datangnya dari Allah, dan bagaimanapun Dia mengharapkan dengan sepenuh hatinya agar ayahnya mendapat hidayah, bila belum dikehendaki oleh Allah, maka sia-sialah keinginan dan usahanya.

Penolakan ayahnya terhadap dakwahnya dengan cara yang kasar dan kejam itu, tidak sedikit pun mempengaruhi ketetapan hatinya dan melemahkan semangatnya untuk berjalan terus memberi penerangan kepada kaumnya untuk menyucikan hati dari sembahan-sembahan yang bathil dan kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan tauhid dan iman kepada Allah dan Rasul-Nya.

Nabi Ibrahim Mula Berdakwah

Nabi Ibrahim tidak henti-hentinya dalam tiap kesempatan mengajak kaumnya berdialog dan bermujadalah tentang kepercayaan yang mereka anut dan ajaran yang ia bawa. Dan ternyata bahawa bila mereka sudah tidak berdaya menolak dan menyanggah alasan-alasan dan dalil-dalil yang dikemukakan oleh Nabi Ibrahim tentang kebenaran ajarannya dan kebathilan kepercayaan mereka,

Maka dalil dan alasan yang tidak munasabah yang mereka kemukakan, iaitu bahawa mereka hanya meneruskan apa yang bawa oleh bapa dan nenek moyang mereka dan mereka tidak akan melepaskan kepercayaan dan agama yang telah mereka warisi.

Sepertimana Firman Allah dalam Al Quran:

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.

Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?”

Mereka menjawab: “Kami dapati datuk nenek kami selalu menyembahnya”

Ia berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”.

Mereka bertanya: “Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang-orang yang bermain-main sahaja?”

Ia menjawab: “(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dia lah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang-orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu.”

(Al-Anbiyaa’ 21:51-56)

Nabi Ibrahim pada akhirnya merasa tidak bermanfaat lagi berdebat dengan kaumnya yang berkepala batu dan yang tidak mahu menerima keterangan dan bukti-bukti nyata yang dikemukakan oleh Baginda dan selalu berpegang pada satu-satunya alasan, bahawa mereka tidak akan menyimpang dari cara sembahan nenek moyang mereka, walaupun telah dinyatakan oleh Nabi Ibrahim berkali-kali bahawa mereka keliru dan tersesat mengikuti jejak syaitan dan iblis.

Nabi Ibrahim kemudian merancang akan membuktikan kepada kaumnya dengan perbuatan yang nyata, agar mereka dapat lihat dengan mata kepala mereka, bahawa berhala-berhala dan patung-patung mereka betul-betul tidak berguna bagi mereka dan bahkan tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri. Sudah tentu rancangan itu adalah untuk Nabi Ibrahim memecahkan berhala berhala tersebut untuk menunjukkan tuhan yang mereka sembah itu bukanlah tuhan sebenar.

Adalah sudah menjadi tradisi dan kebiasaan penduduk kerajaan Babylon, bahawa pada setiap tahun mereka keluar dari kota beramai-ramai pada suatu hari raya yang mereka anggap sebagai keramat. Berhari-hari mereka tinggal di luar kota di suatu padang terbuka, berkhemah dengan membawa bekal makanan dan minuman yang cukup.

Mereka bersuka-ria dan bersenang-senang sambil meninggalkan kota-kota mereka kosong dan sunyi. Mereka berseru dan mengajak semua penduduk agar keluar meninggalkan rumah dan turun beramai-ramai menghormati hari-hari suci itu. Nabi Ibrahim yang juga diajak turut serta, berlagak pura-pura sakit dan diizinkanlah dia tinggal di rumah, kerana mereka merasa khuatir bahawa penyakit Nabi Ibrahim yang dibuat-buat itu dapat menular dan berjangkit di kalangan mereka jika dia turut serta.

 

Nabi Ibrahim Memecahkan Berhala dan menghancurkan-nya

“Inilah dia kesempatan yang ku nantikan,” kata hati Nabi Ibrahim tatkala melihat kota sudah kosong dari penduduknya, menjadi sunyi sepi tidak terdengar apa-apa bunyi kecuali suara burung-burung yang berkicau, bunyi daun-daun pohon yang gemerisik ditiup angin kencang.

Sepertimana Firman Allah dalam Al Quran:

“Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)”. (Al-Anbiyaa’ 21:57)

Dengan membawa sebuah kapak di tangannya ia pergi menuju tempat peribadatan kaumnya yang sudah ditinggalkan tanpa penjaga, tanpa juru kunci dan hanya deretan patung-patung yang terlihat di serambi tempat peribadatan itu. Sambil menunjuk kepada bunga-bunga dan makanan yang berada di setiap kaki patung dan berkatalah Nabi Ibrahim, mengejek: “Mengapa kamu tidak makan makanan yang lazat yang disajikan bagi kamu ini? Jawablah aku dan berkatalah kamu.” Kemudian disepak, ditamparlah patung-patung itu dan dihancurkannya berpotong-potong dengan kapak yang berada di tangannya. Nabi Ibrahim memecahkan berhala itu satu persatu hinggalah ditinggalkan berhala yang besar. Berhala yang besar itu ditinggalkannya utuh, tidak diganggu, yang pada lehernya dikalungkanlah kapak Nabi Ibrahim itu.

Berhala yang dipecahkan oleh Nabi Ibrahim

Terperanjat dan terkejutlah para penduduk, tatkala pulang dari berpesta-ria di luar kota, dan melihat keadaan patung-patung, tuhan-tuhan mereka sudah hancur berkecai dan menjadi potongan-potongan berselerakan di atas tanah. Bertanya sesama mereka dengan nada hairan dan terkejut sepertimana diFirmankan oleh Allah dalam Al Quran:

“Gerangan siapakah yang telah berani melakukan perbuatan yang jahat dan keji ini terhadap tuhan-tuhan persembahan dan pujaan kami ini?” Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang zalim”.

Berkata seorang daripada mereka: “Ada kemungkinan bahawa orang yang selalu mengolok-olok dan mengejek sembahan kita, yang bernama Ibrahim itulah yang melakukan perbuatan yang berani ini.”

(Al-Anbiyaa’ 21:59-60)

Seorang lain menambah keterangan dengan berkata: “Bahkan pasti dialah yang berbuat, kerana dia adalah satu-satunya orang yang tinggal di kota sewaktu kita semua berada di luar merayakan hari suci dan keramat itu.”

Selidik punya selidik, akhirnya terdapat kepastian yang tidak diragukan, bahawa Nabi Ibrahim memecahkan berhala dan dialah yang memusnahkan patung-patung itu. Rakyat kota ramai membicarakan kejadian yang dianggap suatu penghinaan yang tidak dapat diampuni terhadap kepercayaan dan persembahan mereka. Suara marah, jengkel dan kutukan terdengar dari segala penjuru, yang menuntut agar Nabi Ibrahim di jatuhkan hukuman yang berat setimpal dengan dosa besar yang telah dilakukan. Mereka menuntut agar Nabi Ibrahim dipertanggungjawabkan dalam suatu pengadilan terbuka, di mana seluruh rakyat penduduk kota dapat turut serta menyaksikannya. Seperti yang Allah Firmankan dalam Al Quran:

(Ketua-ketua) mereka berkata: “Jika demikian, bawalah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan (tindakan mengenainya). (Al-Anbiyaa’ 21:61)

Dan memang itulah yang diharapkan oleh Nabi Ibrahim, agar pengadilannya iaitu perbuatan Nabi Ibrahim memecahkan berhala, dilakukan secara terbuka di mana semua kaumnya dapat turut menyaksikannya. Kerana dengan cara demikian, beliau dapat berdakwah membetulkan kepercayaan kaumnya yang bathil dan sesat, Baginda menerangkan kebenaran agama dan kepercayaan yang dibawa, jika di antara yang hadir ada yang masih boleh diharap terbuka hatinya menerima iman dan tauhid yang dibawa.

Hari pengadilan ditentukan dan datanglah rakyat dari segala pelosok berduyun-duyun mengunjungi padang terbuka yang disediakan bagi sidang pengadilan itu. Ketika Nabi Ibrahim datang menghadap para hakim yang akan mengadili, Baginda disambut oleh para hadirin dengan teriakan kutukan dan cercaan, menandakan sangat gusarnya para penyembah berhala terhadap beliau yang telah berani menghancurkan berhala sembahan mereka.

Seperti yang diFirmankan Allah dalam Al Quran:

Ditanyalah Nabi Ibrahim oleh para hakim: “Apakah engkau yang melakukan penghancuran dan merosakkan tuhan-tuhan kami, hai Ibrahim?”

Dengan tenang dan sikap dingin, Nabi Ibrahim menjawab: “Patung besar yang berkalung kapak di lehernya itulah yang melakukannya. Cuba tanya saja kepada patung-patung itu siapakah yang menghancurkannya.”

Maka mereka (penyembah berhala) kembali kepada diri mereka (memikirkan hal itu) lalu berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya kamulah sendiri orang-orang yang zalim”.

Kemudian mereka terbalik fikirannya kepada kesesatan, lalu berkata: “Sesungguhnya engkau (hai Ibrahim), telah sedia mengetahui bahawa berhala-berhala itu tidak dapat berkata-kata (maka mengapa engkau menyuruh kami bertanya kepadanya)?”

(Al-Anbiyaa’ 21:62-65)

Tibalah masa yang memang dinanti oleh Nabi Ibrahim, maka sebagai jawapan atas pertanyaan yang terakhir dari hakim itu, Baginda menerangkan tentang kebathilan sembahan yang mereka lakukan, yang mereka pertahankan bermati-matian, semata-mata hanya kerana adat itu adalah warisan nenek-moyang mereka.

Berkata Nabi Ibrahim kepada para hakim itu: “Jika demikian, mengapa kamu sembah patung-patung itu, yang tidak dapat berkata, tidak dapat melihat dan tidak dapat mendengar, tidak dapat membawa manfaat atau menolak mudharat, bahkan tidak dapat menolong dirinya dari kehancuran dan kebinasaan?

Alangkah bodohnya kamu dengan kepercayaan dan persembahan kamu itu! Tidakkah kamu dapat berfikir dengan akal fikiran kamu? (Al-Anbiyaa’ 21:66-67)

Mengapa kamu tidak menyembah Tuhan yang menciptakan kamu, menciptakan alam sekeliling kamu dan menghidupkan kamu di atas bumi dengan segala isi dan kekayaan. Alangkah hina dinanya kamu dengan sembahan kamu itu.”

Setelah Nabi Ibrahim selesai menyampaikan syarahnya, para hakim mencetuskan keputusan bahawa Nabi Ibrahim harus dibakar hidup-hidup sebagai ganjaran atas perbuatannya menghina dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka, maka berserulah para hakim kepada rakyat yang hadir menyaksikan pengadilan itu: “Bakarlah ia dan tuhan-tuhanmu, jika kamu benar-benar setia kepadanya.”

Ingin tahu apa yang berlaku keatas perbuatan Nabi Ibrahim memecahkan berhala? Ikuti sambungan dari kisah ini dimana Nabi Ibrahim diarahkan untuk dibakar hidup-hidup.

Bersambung….

Bacaan Siri Lain:

Kisah Nabi Ibrahim Mencari Tuhan (Siri 1)

Kisah Nabi Ibrahim Dibakar Hidup-Hidup (Siri 3)

Rujukan kepada artikel ‘Nabi Ibrahim memecahkan berhala’:

Kisah Para Nabi dan Rasul: Ibnu Katsir

JIKA ANDA BERMINAT DENGAN BUKU YANG MENCERITAKAN BERKENAAN KISAH NABI IBRAHIM  DAN BANYAK LAGI, ANDA BOLEH BELINYA DISINI

2 thoughts on “Kisah Nabi Ibrahim memecahkan Berhala (Siri 2)”

  1. Saftuyah Shamsudin says:

    Betul ke ni?

    1. Fauzi Kamaruddin says:

      Kisah ini di ambil daripada Kisah Para Anbiya Ibnu Kathir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *