kisah nabi ismail

Saat Nabi Ismail dan ibundanya menghadapi panas terik di padang pasir dari sehari ke sehari tidak ada kurangnya. Apabila Nabi Ibrahim berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Di langit tidak ada sedikit pun tanda-tanda akan turun. Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail yang masih kecil terdedah kepada bahaya maut. Bekalan yang dibawa sudah habis. Perut mula terasa lapar dan tekak merasa haus. Di mana akan mendapat makanan dan minuman? Siapa akan menolong kedua-duanya?

Siti Hajar menyerahkan bulat-bulat nasib diri dan anaknya kepada takdir Ilahi. la tetap sabar dan tenang. “Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang selamatkanlah kami dari maut kerana kelaparan,” doa Siti Hajar kepada Tuhan sambil memangku anaknya yang tidur.

Tidak berapa lama selepas itu, anaknya terjaga lalu menangis tanda merasa lapar. Siti Hajar terus menyusukan anaknya Nabi Ismail agar baginda berhenti menangis. Tetapi alangkah sedihnya air susu ibu itu sudah amat berkurangan. Si anak tidak merasa puas, lalu menangis lagi. Siti Hajar cuba memerah-merah susunya, tetapi gagal.

“Berapa lama lagi aku mampu untuk bertahan menyusukan Ismail, sedangkan badanku tidak mendapat bekalan makanan dan minuman yang cukup,” kata Siti Hajar dalam hatinya sambil mengusap-usap kepala anaknya. Anak kecil itu terus menangis. Siti Hajar bangun lalu mendodoi-dodoikan anaknya supaya berhenti menangis. Tetapi, ia tidak juga mahu diam. Malah suara tangisannya semakin kuat.

“Apa ikhtiarku untuk mendapatkan air minuman di tengah padang pasir yang tandus dan asing bagiku ini,” ujar Siti Hajar dalam hatinya.

Ibunda Nabi Ismail Mencari Air

Siti Hajar dan juga Nabi Ismail merasa kehausan (disebabkan kehabisan simpanan air). Dia melihat anaknya dalam keadaan yang cemas kerana anaknya terus menangis. Dia pun pergi untuk mencari sumber air kerana tidak sanggup melihat anaknya kehausan. Dengan itu, dia pergi menuju ke bukit Shafa kerana ia adalah bukit yang paling hampir dengannya lalu berdiri di atasnya.

Pandangannya diarahkan ke lembah di sekelilingnya, dengan harapan terdapat seseorang tetapi ternyata tiada seseorang pun. Setelah itu, dia pun turun (dari bukit Shafa) dan ketika sampai di lembah, dia mengangkat hujung pakaiannya lalu berusaha keras sehingga dia sampai ke lembah iaitu bukit Marwah, lalu berdiri di atasnya sambil melihat apakah terdapat seseorang di sana? Tetapi, ternyata tiada seseorang juga. Dia melakukan perkara sedemikian sehingga tujuh kali.

Telaga Zam Zam
Gambar Telaga Zam Zam Kini

Ibnu Abbas RA, berkata bahawa Nabi SAW bersabda: “Itulah sa’ie yang mesti dilakukan oleh manusia antara dua bukit itu”. Ketika dia sampai di puncak bukit Marwah, dia terdengar suara lalu dia berkata kepada dirinya sendiri: “Diam!”. Dia cuba mendengarnya lagi lalu dia mendengar suara itu dengan berkata: “Engkau telah menperdengarkan suaramu, apakah bersama engkau terdapat pertolongan?”. Ternyata suara itu adalah malaikat Jibril yang berada dekat dengan tempat zamzam. Lantas, Jibril mengais tanah dengan tumitnya (atau dengan sayapnya, sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang lain) sehingga air keluar memancar”. [Riwayat al-Bukhari, (3364)]

Siti Hajar mencuba sekuat tenaga mempertahankan jiwa anak tunggal kesayangannya dan sabar atas dirinya sendiri. Siti Hajar pun bergegas mengambil dan menampungnya. Diceduknya air itu dengan tangannya dan memasukkannya ke dalam tempat air. Setelah diciduk, air tersebut semakin memancar keluardengan banyak. Dia pun minum air tersebut dan juga memberikan kepada putranya, Ismail. Lalu Malaikat Jibril berkata kepadanya, “Jangan takut dan cemas, Sesungguhnya, di sinilah Baitullah yang akan dibangunkan oleh anak ini (Ismail) bersama ayahnya. Dan sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan hambanya dalam kesusahan”.

Siti Hajar segera mencedok air itu dan diberikan kepada anaknya, Ismail. Nabi Ismail minum sepuas-puasnya hingga kelihatan badannya kembali segar dan dia tidak menangis lagi. Kemudian, Siti Hajar sujud dan memuji Allah, yang telah menyela-matkan dirinya dan anaknya dari mati kelaparan. Siti Hajar bersyukur kepadaNya kerana mengabulkan doanya dan doa suaminya, Nabi Ibrahim a.s. semasa hendak berangkat.

Beberapa hari kemudian, tanah di sekitar telaga itu menjadi lembab. Siti Hajar pun mulalah bercucuk tanam dengan tanam-tanaman yang perlu. Pokok-pokok itu hidup dengan subur dan berbuah dengan lebatnya. Kemudian apabila orang ramai mengetahui bumi Mekah telah subur, dengan munculnya Telaga Zamzam, mereka pun datang berduyun-duyun ke sana membuat perkampungan tempat kediaman yang tetap.

Akhirnya bumi Mekah telah menjadi sebuah perkampungan. Penduduk-penduduknya bekerja sebagai kaum petani dan penternak binatang-binatang seperti unta, kambing biri-biri dan sebagainya. Mekah kini benar-benar menjadi sebuah negeri yang makmur. Siti Hajar dan anaknya, Ismail tidak mengalami sebarang kesukaran lagi untuk mendapatkan makan minum dan lain-lain.

Setiap hari Ismail diasuh dan dididik oleh ibunya dengan baik. Ditanamkan di lubuk hatinya dengan iman dan diberi latihan dengan akhlak dan budi pekerti yang mulia. Akhirnya di bawah asuhan ibunya, Ismail juga menjadi anak yang soleh, sesuai dengan firman Allah dalam Al-Quran:

“Lalu kami gembirakan Ibrahim dengan seorang anak muda yang sangat penyantun.” (Surah As-Saffat: 101)

 

Ikuti sambungan kisah Nabi ismail ketika baginda diperintahkan untuk disembelih. Bersambung…

Bacaan Siri Lain:

Dihantar Ke Bumi Yang Tandus (Siri 1)

Kisah Nabi Ismail – Penyembelihan Agung (Siri3)

Rujukan kepada artikel Kisah Nabi Ismail:

Kisah Para Nabi dan Rasul: Ibnu Katsir

JIKA ANDA BERMINAT DENGAN BUKU YANG MENCERITAKAN BERKENAAN KISAH NABI ISMAIL DAN BANYAK LAGI, ANDA BOLEH BELINYA DISINI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *