Kisah Nabi Ibrahim

Nabi Ibrahim telah dijatuhkan hukuman oleh Raja Namrud, dimana dia akan dibakar hidup-hidup dalam api yang besar. Kisah Nabi Ibrahim dibakar ini merupakan salah satu  kisah yang penting di dalam al-quran. Dimana ia dikisahkan dengan pembakaran itu dilakukan di khalayak ramai dan persiapan bagi upacara pembakaran tersebut disaksikan oleh seluruh rakyat. Raja Namrud menyetujui desakan orang ramai itu.

Lalu Namrud pun memerintahkan supaya tiap-tiap orang membawa seberkas kayu api. Semua penduduk bergotong-royong mengambil bahagian membawa kayu bakar sebanyak yang dapat sebagai bakti kepada tuhan-tuhan mereka yang telah dihancurkan oleh Nabi Ibrahim.

Setelah kayu api dilonggokkan dengan banyaknya sehingga merupakan sebuah bukit, maka Baginda pun dibawa ke tempat itu, “Engkau akan dibakar, wahai Ibrahim. Kalau engkau benar-benar mempunyai Tuhan lain dari tuhan-tuhan kami, mohonlah kepadaNya. Kami ingin melihat setakat mana kebenaranmu,” ujar pengikut-pengikut Raja Namrud kepada Nabi Ibrahim.

Nabi Ibrahim tetap tenang, kerana dadanya telah dipenuhi dengan iman. Baginda rela menghadapi segala apa juga pun kerana menegakkan agama Allah. Mungkin baginda boleh dibebaskan pada waktu itu dari hukuman bakar, jika baginda sujud kepada Namrud dan mengakui tuhan-tuhannya. Tetapi bagi Baginda, mati dalam iman adalah seribu kali lebih baik dari hidup dalam kufur dan syirik kepada Allah.

Nabi Ibrahim Dibakar Raja Namrud

Berduyun-duyunlah orang datang menyaksikan pelaksanaan hukuman Nabi Ibrahim. Kayu dibakar dan terbentuklah api yang sangat besar. Kemudian dalam keadaan diikat tangannya, Baginda diangkat ke atas tempat yang tinggi lalu dicampakkan ke dalam kayu api yang menyala-nyala itu dengan iringan Firman Allah:

“Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! “.

(Al-Anbiyaa’ 21:69)

Orang ramai yang berkumpul di sekitar kawasan itu masing-masing merasakan betapa dahsyatnya api itu, api besar yang belum pernah disaksikan oleh mereka sebelumnya. Masing-masing merasa yakin sudah pasti Ibrahim akan hangus menjadi abu.

Kisah Nabi Ibrahim Dibakar
Kawasan Dimana Nabi Ibrahim Dibakar

Kemudian api beransur-ansur padam. Semua kayu sudah menjadi bara yang merah dan akhirnya menjadi abu sehingga habis terbakar kesemuanya sekali. Alangkah terperanjatnya orang ramai yang menyaksikan bila mendapati Nabi Ibrahim muncul keluar dari longgokan abu dengan selamat. Tatkala Baginda berada dalam api yang dahsyat itu, beliau merasa dingin dan hanya tali dan rantai yang mengikat yang terbakar hangus, sedang tubuh dan pakaian yang terlekat pada tubuhnya tetap utuh, tidak sedikit pun tersentuh api.

Ramai daripada rakyat pada ketika itu rasa takjub dengan keajaiban yang berlaku menyebabkan mereka mempersoalkan kepercayaan mereka kepada Raja Namrud. Malah, Puteri Razia iaitu anak perempuan kepada Raja Namrud sendiri mula percaya kepada apa yang dibawakan oleh Baginda AS lalu pada ketika itu juga Puteri itu mengakui bahawa Tuhan Ibrahim adalah tuhan yang sebenarnya. Tinggallah Raja Namrud dan golongan bangsawan sahaja yang masih enggan tunduk kepada Allah disebabkan kesombongan mereka. Perkara ini disebabkan kerisauan akan kehilangan pangkat dan darjat yang mereka ada selama ini setelah mereka mengikuti ajaran Nabi Ibrahim AS. Oleh itu, mereka menolak kerasulan baginda lantas menolak apa yang Nabi Ibrahim AS bawakan.

Bersambung…

Bacaan Siri Lain:

Kisah Nabi Ibrahim Mencari Tuhan (Siri 1)

Kisah Nabi Ibrahim memecahkan Berhala (Siri 2)

Rujukan kepada artikel ‘Nabi Ibrahim Dibakar Hidup-hidup’:

Kisah Para Nabi dan Rasul: Ibnu Katsir

Kisah Nabi Ibrahim Wikipedia.org

JIKA ANDA BERMINAT DENGAN BUKU YANG MENCERITAKAN BERKENAAN KISAH NABI ISMAIL DAN BANYAK LAGI, ANDA BOLEH BELINYA DISINI

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *