dosa fitnah

Dosa fitnah atau dalam bahasa arab disebut بَهَتَّهُ merujuk kepada perilaku menyebarkan berita palsu tentang seseorang.

Ini berdasarkan hadith

يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْغِيبَةُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قَالَ أَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّهُ

“Wahai Rasulullah, apakah ghibah itu?” beliau menjawab: “Kamu menyebutkan tentang temanmu dengan sesuatu yang ia benci.” Ia bertanya lagi, “Bagaimana sekiranya apa yang kukatakan memang benar?” Beliau menjawab: “Jika memang apa yang kamu katakan itu benar, maka sungguh kamu telah menggibahnya, namun jika apa yang kamu katakan itu tidak benar, maka sungguh kamu telah berbuat fitnah.”

HR Abu Daud No. 4231

fitnah secara bahasanya mengikut definisi arab dan al-quran mempunya maksud yang pelbagai. Dan tidak secara spesifik merujuk kepada perbuatan menyebar dan menuduh seseorang dengan berita palsu.

Maksud fitnah berdasarkan kamus dewan edisi ke-empat baru kita akan bertemu dengan maksud seperti di atas.

Jadi kita perlu faham bahawa terdapat perbezaan antara maksud fitnah dalam bahasa arab dan bahasa melayu. Sekiranya kita tidak jelas perkara ini, kita akan sewenang-wenangnya menggunakan dalil al-quran dan hadith pada tempat yang tidak tepat.

SALAH FAHAM TENTANG DOSA FITNAH LEBIH BESAR DARIPADA MEMBUNUH

Kita mesti pernah terdengar dengan ungkapan. “Fitnah itu lebih dasyat daripada membunuh”

Yang kita faham, seolah-olah dosa memfitnah orang itu lebih besar daripada membunuh. Tidak dinafikan memang kesan dosa fitnah ini sangat besar, sehinggkan boleh membuatkan suami isteri bercerai-berai, adik beradik bergaduh, sahabat baik boleh terpisah.

Tetapi meletakkan dalil tersebut pada tempat yang salah, sesuatu yang tidak dibenarkan oleh syarak.

Mari kita lihat, ayat al-quran yang menerangkan tentang hal ini

وَالْفِتْنَةُ أَشَدُّ مِنَ الْقَتْلِ

dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan…

Surah Al-Baqaroh[2]: 191

وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنَ الْقَتْلِ

Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

Surah Al-Baqaroh [2]:217

Seperti yang diterangkan di atas, ada perbezaan antara istilah bahasa arab dan bahasa melayu.

Fitnah di sini bermaksud perbuatan syirik.

Sememangnya perbuatan syirik ini suatu dosa yang sangat besar, sehinggkan dosa syirik termasuk dalam dosa yang tidak diampunkan.

Untuk penerangan lebih details boleh baca di laman sesawang mufti wilayah.

DOSA FITNAH DAN PERISTIWA AL-IFKI

Untuk membicarakan topik fitnah seperti yang kita terangkan maksudnya di atas, kita perlu memahami dulu kisah fitnah yang berlaku ke atas Saidatina Aisyah r.a.

Peristiwa ini berlaku ketika keberangkatan pulang daripada Perang Bani Mustaliq.

Saidatina Aisyah r.a pergi menunaikan hajat ketika rombongan kaum muslim sedang berhenti berehat.

Apabila kembali ke kem kaum muslimin, Saidatina Aisyah tersedar rantai yang dipakainya hilang dan berpatah balik untuk mencari rantainya.

Ketika Saidatina Aisyah kembali ke kem kaum muslimin, rombongan telah bergerak dan Aisyah ditinggalkan tanpa pengetahun ahli rombongan yang lain.

Lalu Aisyah r.a membungkus badannya dengan kain, dan tunggu di tempat itu.

Kebetulan Sofwan r.a melalui jalan itu, Sofwan agak jauh tertinggal dibelakang berbanding rombongan kaum muslimin yang lakn, kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan.

Ketika Sofwan melihat ada seperti bungkusan, jangkaan Sofwan itu adalah barang yang tertinggal daripada kaum muslimin, dan apabila dekat baru Sofwan tahu, itu adalah isteri nabi, Saidatina Aisyah r.a.

Lalu Aisyah r.a naik kuda Sofwan, dan Sofwan menarik kuda itu daripada hadapan sehingga sampai ke kota Madinah.

Akhirnya timbul lah fitnah, yang dimulakan oleh Abdullah bin Ubay mengatakan Aisyah r.a telah berzina dengan Sofwan r.a

Peristiwa ini amat menguji kaum muslimin dan Rasulallah. Tidak terkecuali ada sahabat yang termakan dan percaya dengan fitnah ini.

Sehingga lah turun wahyu daripada Allah surah an-nur[24]:11-19 membebaskan Aisyah r.a daripada fitnah ini.

KESIMPULAN

Perbuatan fitnah ini termasuk dalam kategori dosa sesama manusia. Dan dosa sesama manusia tidak akan terampun melainkan dimaafkan oleh mangsa yang difitnah itu sendiri.

Dan kesannya sangat besar, mampu membunuh peribadi (character assassination) seseorang yang mulia dan tinggi derjatnya di sisi Allah.

Oleh itu, peliharalah lidah dan lisan kita jangan terlalu mudah untuk berkata yang tidak baik mengenai orang lain. Bimbang walaupun apa yang kita katakan itu benar itu termasuk dalam kategori ghibbah/mengumpat. Sekiranya dusta maka ia menjadi fitnah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *